ISU BIDANG SUKAN NEGARA ( USAHA / LANGKAH / CARA MEMBANGUNKAN DAN MASALAH / CABARAN / HALANGAN YANG MENJEJASKAN PENCAPAIAN ATLET )

Soalan:
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha / langkah / cara untuk membangunkan bidang sukan negara. Namun begitu, terdapat pelbagai masalah / halangan / cabaran yang menjejaskan pencapaian atlet dalam bidang tersebut.


_____

Rangka Esei:
1) Usaha-usaha (Kerajaan):
  • Peiktirafan insentif.
  • Menyediakan infrastruktur sukan yang moden.
  • Menyediakan jurulatih / tenaga pakar dari luar negara.
  • Program persediaan atlet.
2) Masalah-masalah:
  • Masalah pengambilan dadah.
  • Rasuah.
  • Pengurusan sukan yang tidak profesional.
  • Masalah kekurangan pelapis baru / muda.
_____
Esei Penuh (Cadangan)

     Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan bidang sukan negara. Namun begitu, terdapat pelbagai masalah yang telah menjejaskan pencapaian atlet dalam bidang sukan ini.

     Antara usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan bidang sukan negara ialah memberi pengiktirafan insentif kepada para atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Misalnya, pemberian pangkat, wang tunai, harta yang boleh berupa emas dan berlian serta tanah. Pemberian pengiktirafan insentif ini mampu menaikkan semangat para atlet untuk terus bersaing secara sihat bagi merebut gelaran pemenang dalam apa jua acara yang dipertandingkan. Senario ini dapat dilihat melalui pencapaian pemain badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei yang mendapat gelaran 'Datuk' di atas pencapaiannya yang cemerlang.

     Selain itu, menyediakan infrastruktur sukan yang moden dan berkualiti. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli infrastruktur sukan yang moden dan berkualiti serta mengikut piawaian antarabangsa. Perkara ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai atlet negara yang mampu bersaing di mata dunia. Kerajaan juga telah memperuntukkan pembiayaan bagi membaiki dan menaiktaraf infrastruktur sedia ada di seluruh Malaysia. Infrastruktur sukan yang baik akan memudahkan para atlet untuk berlatih dan bersedia menghadapi sukan bertaraf dunia.

     Manakala masalah yang sering menjejaskan pencapaian atlet ialah masalah pengambilan dadah. Pengambilan dadah semasa pertandingan atau perlawanan dapat menghilangkan rasa gemuruh para atlet dan membekalkan stamina yang maksimum. Atlet yang terlibat dalam pengambilan dadah akan dihadapkan dengan tindakan undang-undang seperti digantung perlawanan dan dikenakan tindakan tata tertib. Hal ini demikian kerana, pengambilan dadah dalam sukan adalah amat merbahaya dan mampu memudaratkan kesihatan atlet itu sendiri.

     Di samping itu, isu rasuah juga menjadi satu daripada masalah yang menjejaskan pencapaian atlet. Sebilangan atlet Malaysia sanggup 'menjual' perlawanan mereka semata-mata ingin mengambil wang suapan daripada pihak lawan. Atlet yang terlibat dengan rasuah ini akan mengatur corak perlawanan mereka sebelum bertanding bagi memberi kemenangan kepada pihak lawan. Tentu sekali wang suapan yang dijanjikan adalah lebih besar dan menguntungkan sehingga para atlet ini rela 'menjual' maruah mereka sendiri. Sikap tamakkan harta yang wujud dalam diri atlet menyebabkan mereka bersikap tidak jujur semasa bertanding.

     Seterusnya, masalah kekurangan pelapis baru atau muda dalam sukan tertentu akan mempengaruhi jumlah atlet yang berpelangaman. Misalnya, kita mempunyai pemain badminton dan skuasy dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, namun sehingga kini kita masih belum menemui pelapis baru yang mampu mempertahankan martabat badminton dan skuasy di negara ini. Menyedari hal ini, maka program-program latihan sukan perlu digiatkan dan disemarakkan agar lebih ramai rakyat Malaysia menceburi bidang sukan.

     Kesimpulannya, usaha untuk meningkatkan mutu sukan negara harus lebih bersifat progresif dan menyeluruh. Atlet sukan juga perlu bersikap jujur dalam perlawanan dan mempunyai cita-cita serta usaha untuk mengharumkan nama negara di peringkat dunia menerusi bidang sukan. 

_____

Skema Pemarkahan (Pengajian Am)
- Isi : 5 markah
- Huraian : 14 markah
- Bahasa : 3 markah
- Intipati : 1 markah
Jumlah = 23/25 markah
_____

Penulis: Ezharif | 15.08.19  
Hak cipta terpelihara [EZHARIF Studio]. Untuk sebarang makluman, pertanyaan atau cadangan, sila emelkan ke ezharif.studio1@gmail.com atau Whatsapp: +60174583787. Terima kasih :)

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENYAKIT KARDIOVASKULAR ( FAKTOR / PUNCA / SEBAB MENYEBABKAN DAN LANGKAH / CARA / KAEDAH MENGURANGKAN RISIKO PENYAKIT KARDIOVASKULAR )